Pengisian Ibadah Bulan Ramadhan

10:36 PM Edit This 0 Comments »
| 0 comments ]
Apa yang baik dibuat di bulan Ramadhan? Sebenarnya terlalu banyak, antara nak buat atau tidak sahaja. Malah kebanyakan perkara itu umum diketahui, pernah dipelajari atau didengar. Penyakit di akhir zaman ini memang begitu.. kita ada ilmu, tetapi tidak diamal.

Entri ini khusus kepada jenis ibadah yang tidak perlukan tenaga yang besar, bukan sahaja untuk bulan Ramadhan malah bila-bila juga. Kos perbelanjaan - tiada. Hanya menggunakan anggota badan kurniaan Tuhan. Fokus adalah tentang Dzikrullah - Zikir Mengingati Allah.

1. Niat Kerana Allah

Sebenarnya inilah ibadah tertinggi. Ia meningkatkan ingatan kita kepada Allah dalam apa jua pekerjaan atau amal yang kita lakukan. Bukan sahaja semua ibadah syar'ie menjadikan niat kerana Allah itu sebagai rukun (eg: solat, puasa, haji atau zakat), malah niatlah kerana Allah bila nak pergi kerja, naik kenderaan, makan dan minum, tidur malah ke tandas sekalipun. Niat itu hanya lintasan hati,tidak perlu dilafazkan teratur. yang penting, kita buat kerana Allah - demi-Nya dan kerana-Nya. Niat ini mendorong kita meng-ikhlaskan diri dalam menegakkan agama Allah. Ikhlas di hati ini, tiada yang tahu kecuali Allah - dan Dialah Yang Maha Mengetahui seikhlas mana kita.

Baik juga ditambah doa memohon kebaikan dari apa yang kita nak lakukan itu. Lafazkan Bismillah di lidah untuk memulakan amal dan tugas tersebut. Insya Allah, niat dan lafaz Bismillah ini akan mengingatkan kita pada Allah, dan takut untuk melanggar larangan-Nya. mana ada orang berani berjudi, minum arak atau ponteng kerja - diniatkannya kerana Allah.. ada ??

2. Tasbih - Subhanallah. Kalimah ini amat mulia untuk diucap, seperti ayat ke 83 Surah Al-Waqiah: "Maka bertasbihlah kepada Tuhanmu yang Maha Agung", juga ayat pertama Al-A'la: "Dan bertasbihlah (persucikanlah) nama Tuhanmu yang Maha Tinggi".

3. Tahmid - Alhamdulillah.

4. Takbir - Allahu Akbar.

5. Tahlil - La ilaha illallah.

6. Hauqalah - La haulawala quwwata illa billah.

7. Istighfar - Astaghfirullah.

8. Salawat - Allahumma sholli 'ala Muhammad.

9. Doa
Berdoalah, mintalah apa jua sekehendak kita, walau mengadukan gatal di hujung telinga pada-Nya, atau kehilangan sebelah selipar. Sebaiknya doa meliputi dua perkara: mohon kepadanya segala kebaikan dan mohon perlindungan-Nya dari perkara yang tidak disukai. Cara berdoa: mulakan dengan memuji Allah (Alhamdulillah ...), salawat, ...(doa) ... dan ditutup dengan salawat serta memuji Allah. Allah berfirman: "Berdoalah kepadaku, nescaya Aku memperkenankannya."

Jangan berputus asa berdoa, doa itu tugas kita dan selebihnya serahkan pada Allah SWT. Elakkan mudah kecewa jika doa tidak terkabul, Allah telah mendengarnya. Cuma Dia sayangkan kita, Dia suka kita mengadu padanya. Tetap ada rahmat dan anugerahNya, jika tidak di dunia tentu disimpan-Nya di akhirat nanti.

10. Membaca Al-Qur'an - kelebihan yang tiada tolok bandingnya. Jika sesuatu amal itu diberi 10 pahala ganjaran, membaca satu huruf Al-Qur'an sudah bernilai 10 pahala. Nabi menyatakan, "Alif Lam Mim (eg: awal Surah Baqarah) itu bukanlah satu huruf, tetapi tiga huruf". Bacaan "Qul huwaLLahu Ahad" - ayat pertama Surah Al-Ikhlas itu sahaja mengandungi 11 huruf. Jika ikhlas membacanya, 2-3 saat dah dapat 110 pahala kebaikan. Senang kan?

10. Memberi salam - Assalaamu'alaikum.
Nabi kata: "Allah itu As-Salaam (Maha Sejahtera. Maka sebarkanlah salam di kalangan kamu." Bukankah baik kita saling mendoakan orang Islam lain dengan kesejahteraan. Dan tentu dia pula akan mendoakan kita pula dengan "Wa'alaikumussalam". Paling baik, kita beri salam pada orang ramai, dan yang akan membalas salam nanti cukup ramai. Best.

Kesimpulannya: buatlah apa sahaja kebaikan.. walaupun sedikit. Cuma perlu konsisten. Itu lebih baik dan digemari Nabi berbanding "pulun banyak2 sedas.. lepas tu tinggal dan lebuh semuanya".

Related Posts by Categories

Lafaz Niat Puasa Bulan Ramadhan & Doa Berbuka Puasa

10:33 PM Edit This 0 Comments »
| 0 comments ]

Lafaz niat dan niat berpuasa:

"Sahaja aku puasa esok hari - (kerana mengerjakan) fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini -
kerana Allah Ta'ala"
Pada malam 1 Ramadhan, elok ditambah perkataan Arab 'kullihi' (bermaksud: sekeliannya) sebelum lafaz '..LiLLahi Ta'ala'. Jika dibaca, ia bermaksud kita berniat puasa itu merujuk semua/sekelian/seluruh hari dalam bulan Ramadhan. Contohnya seperti berikut:
"Sahaja aku puasa esok hari - (kerana mengerjakan) fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini ,
sekeliannya- kerana Allah Ta'ala"

Jika berniat seperti di atas pada malam pertama Ramadhan, sedangkan terlupa niat pada mana-mana malam sepanjang Ramadhan, menurut pandangan Mazhab Syafi'e - puasanya sah.

Doa berbuka puasa:

"Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa; dan dengan Engkau beriman aku; dan dengan rezeki Engkau aku berbuka; dengan rahmat-Mu - wahai Yang Maha Pengasih dan Penyayang"
Selamat Berpuasa Muslimin Muslimat Seluruh Dunia
Lipatgandakan Amalan Kebaikan.
Bersyukur kita kerana dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun ini.
Semoga kita semua diampuni dan dirahmati Allah, serta dijauhkan dari api neraka.

Solat Sunat Tarawih - Definisi, Sejarah, Hukum & Kaedah

10:32 PM Edit This 0 Comments »
| 0 comments ]
Definisi Tarawih ialah bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirehat. Manakala Solat Tarawih bererti solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Aishah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: “Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama ada dosa yang terdahulu dan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini?”

Baginda menjawab: “Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Qiyamu Ramadhan

Solat Tarawih juga disebut dengan Qiyamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isya’ dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.

Sejarah Solat Tarawih

Sejarah solat sunat Tarawih ini dimulai oleh Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi. Menurut baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih ini di masjid, lalu para sahabat mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat Tarawih di masjid, dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.

Pada malam yang ketiganya lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w. di masjid. Tetapi baginda tidak hadir. (Baginda mengerjakan solat Tarawih itu di rumah). Esoknya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”

Jika solat Tarawih itu difardhukan, tentulah sangat memberati umat Islam.

Perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir b. Abdullah yang ertinya:
"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kamu."
Tarawih Zaman Umar Al-Khattab

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, semakin ramailah umat Islam mengamalkan solat sunat Tarawih ini. Menurut Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di bulan Ramadhan, beliau pergi ke masjid bersama Khalifah Umar Al-Khattab.

Setibanya di masjid, beliau dapati ramai orang yang berkelompok-kelompok membuat jamaah-jamah mengerjakan solat ini. Sebahagiannya mengikut seorang imam dan sebahagian lagi mengikut imam yang lain. Melihat kepada amalan yang tiada keseragaman itu, Khalifah Umar berkata: “Aku bermaksud menyuruh mereka supaya berimam kepada seorang imam yang baik bacaannya.” Seterusnya beliau menyuruh mereka berimamkan Ubai bin Ka’ab.

Pada malam berikutnya mereka mengerjakan solat Tarawih dengan seorang imam. Khalifah Umar berkata: “Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.” Maksud Khalifah Umar, orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur lebih dahulu) mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal malam.

Bid’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah bahawa solat Tarawih itu hendaklah dikerjakan secara berjamaah dengan pimpinan seorang imam yang baik bacaannya. Sayidina Umar sebenarnya hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika mula-mula solat Tarawih itu disyari’atkan. Baginda terpaksa memberhentikan cara yang demikian pada malam yang ketiga, kerana takut ibadat solat Tarawih itu diwajibkan kepada umatnya.

Amalan Solat Sunat Tarawih

Di samping mengamalkan ibadat puasa yang diwajibkan, umat Islam digalakan dan disuruh dengan mengerjakan berbagai ibadat sunat yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadan yang diberkati Allah itu. Di antaranya yang utama sekali ialah ibadat Solat Sunat Tarawih; dan seterusnya solat-solat Qiamullail (Tahajjud, Hajat, Tasbih), membaca Al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Allah SWT mengurniakan satu keistimewaan lagi iaitu malam “Lailatul-Qadr” pada salah satu malam sepanjang bulan Ramadhan itu. Seperti yang tersebut di dalam Al-Quran, surah Al-Qadr, mereka yang beribadat pada malam tersebut akan diberi pahala ganjaran seperti beribadat 1,000 bulan (83 tahun).

Fadhilat, kelebihan dan pahala yang paling besar dikurniakan Allah S.W.T daripada berbagai ibadat itu ialah solat sunat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Hukum Solat Tarawih

Hukum solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih
Lafaz niat: (Solat Sendiri)

Sahaja aku Solat Sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Ta'ala


Lafaz niat Solat Tarawih: (Solat Berjemaah)

Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat(Imam atau makmum) kerana Allah Ta'ala
Berjemaah Lebih Afdhal

Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian atupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjemaah.

Rasulullah s.a.w. pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjemaah. Pada malam yang keduanya, baginda dapati sambutan begitu ramai dari para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggaap solat Tarawih itu sebagai wajib.

Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjamaah bersama Rasulullah s.a.w. Tetapi baginda tidak mahu hadir, kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadat solat itu sebagai wajib, bukan kerana tidak mahu berjemaah.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab, beliau merasa tidak senang hati melihat umat Islam berkelompok-kelompok di sana sini di dalam Masjid Nabawi mendirikan solat sunat Tarawih. Beliau lalu berusaha menyatukan mereka supaya mendirikan solat sunat Tarawih itu dalam satu sahaja jamaah yang lebih besar dan bersatu, dengan diimamkan oleh seorang yang baik bacaannya.

Perubahan yang dibawa oleh Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab itu tidak mendatangkan anggapan bahawa solat Tarawih itu sebagai wajib. Demikian juga bilangan rakaat dari lapan rakaat menjadi dua puluh rakaat tidak dianggap memberatkan mereka. Ini disebabkan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar itu, keadaan keilmuan agama telah semakin luas dan mendalam, dan suasana mayarakat umat Islam telah stabil. Mereka telah cukup memahami bahawa solat Tarawih itu hukumnya sunat muakkad (sunat yang dikuatkan), bukan fardhu atau wajib. Demikian juga mereka mengamalkan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat memandangkan faedah dan kelebihan pahalanya yang amat besar.

Sepuluh adab puasa

10:22 PM Edit This 0 Comments »
Sepuluh adab puasa
SEPULUH ADAB-ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH
disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’
karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H)


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, ni’mat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei].

Serah pada TPM Ogos

10:21 PM Edit This 0 Comments »

Serah pada TPM Ogos

PUTRAJAYA 31 Julai - Hasil perbincangan dua meja bulat mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum hujung Ogos ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini, semua hasil perbincangan tersebut, termasuk laporan akhbar serta e-mel daripada orang ramai mengenai cadangan pemansuhan itu sedang diperhalusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Kita tengah menyediakan laporan untuk Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) dan sekiranya ia berjalan lancar, laporan itu akan siap sebelum akhir bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-37 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan bagi pertandingan itu sebanyak RM165,400 daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat).

Sementara itu, mengenai pertandingan tersebut, Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) menjuarai bahas Bahasa Inggeris manakala bagi Bahasa Melayu pula dimenangi Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban, Negeri Sembilan).

Masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM4,000.

Pembahas Terbaik bagi Bahasa Inggeris dimenangi oleh Muhammad Aiman Sabeh Mohd. Shahib dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) manakala Adzlan Qushaimi Jamaludin dari Sekolah Datuk Abdul Razak pula sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Melayu.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

Irfan

11:20 PM Edit This 0 Comments »
Saya bersama irfan sebelum ke majlis kenduri saudara.

Semua Imam Muda ke Madinah

10:55 PM Edit This 0 Comments »

Semua Imam Muda ke Madinah


ASYRAF MEMBERI SEPATAH DUA KATA SELEPAS MERANGKUL GELARAN IMAM MUDA.


TEKA-teki tentang siapakah yang dinobat sebagai Imam Muda unggul akhirnya terjawab sudah apabila peserta dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, atau Asyraf diumumkan sebagai juara.

Menepati ramalan, Asyraf yang sebelum ini berpengalaman sebagai imam mengenepikan pencabar terdekatnya iaitu Hizbur atau Hizbur Rahman Omar Zuhdi, seorang guru tahfiz yang berasal dari Baling, Kedah.

Baik Asyraf mahupun Hizbur masing-masing memang berkelayakan bergelar imam dan menerusi rancangan Imam Muda, bakat dan kebolehan mereka diasah daripada pelbagai aspek keagamaan.

Pada malam kemuncak rancangan itu yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, kedua-dua nya dikehendaki menyampaikan tazkirah, mengaji al-Quran secara bertarannum, mengalunkan zikir serta menjawab soalan-soalan secara spontan.

Biarpun ini merupakan penerbitan sulung Imam Muda, objektif untuk mengangkat status imam ternyata bukan hanya omongan kosong.

Penerimaan terhadap rancangan itu cukup meluas. Bahkan, di laman sosial Facebook Imam Muda, bilangan peminat kini sudah mencecah lebih 50,000 orang.

Pengisian serta kandungan, cabaran dan pembelajaran yang diberikan kepada peserta ternyata berjaya menarik minat bukan hanya masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara.

Selama 10 minggu, peranan sebenar seorang imam diterjemah ke kotak televisyen dalam bentuk yang cukup menarik di Astro Oasis.

"Imam Muda banyak mengubah hidup saya. Bagi saya yang paling mencabar ialah bagaimana untuk mengubah persepsi masyarakat dalam banyak perkara.

"Saya berazam untuk menjadi imam yang relaks yang boleh bercampur dengan semua golongan termasuk kanak-kanak, remaja dan yang lebih tua," kata Asyraf.

Dengan kemenangan itu, Asyraf membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai hampir RM350,000.

Ini termasuklah tawaran kontrak menjadi ratib di salah sebuah masjid di ibu kota.

Selain trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hadiah turut merangkumi biasiswa pakej 'berlian' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Saudi Arabia, pakej menunaikan haji dan umrah, kereta Proton Exora serta wang tunai RM20,000.

Hadiah lain termasuklah pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, pakej perabot jati bernilai RM10,000, pakej spa Maghribi, komputer riba Apple Macbook Pro dan sebuah iPhone 3G.

Bagaimanapun, Asyraf masih belum membuat keputusan bilakah masa yang sesuai untuknya menyambung pengajian di Madinah memandangkan pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Malaya masih belum selesai. Dia merancang untuk menamatkan dahulu pengajiannya di negara ini.

Begitu juga Hizbur yang ingin menamatkan dahulu pengajian tahun akhir di Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Daripada jumlah lebih 1,300 peserta yang hadir di peringkat uji bakat, hanya 10 yang terpilih.

"Bagaimanapun, syukur sangat program ini berjalan dengan lancar. Apatah lagi Imam Muda berjaya mencetus fenomena yang tidak pernah berlaku," kata Hizbur.

Sebagai naib juara, Hizbur membawa pulang hadiah merangkumi pakej 'emas' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Saudi Arabia, pakej umrah, wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam dan pakej perabot jati bernilai RM7,000.

Hadiah lain termasuklah sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, iPhone, pakej spa Maghribi di samping trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah daripada Jawi. Menariknya, bukan hanya Asyraf dan Hizbur yang bakal melanjutkan pelajaran ke Madinah tetapi lapan lagi peserta Imam Muda.

Berita menggembirakan itu diumumkan oleh pengetuanya, Datuk Hassan Mahmood pada malam kemuncak itu sebelum mengumumkan pemenang yang mengungguli Imam Muda.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah pada sidang akhbar yang diadakan selepas tamat pertandingan akhir itu memberitahu, dalam merealisasikan hasrat kandungan Astro di bawa ke peringkat lebih tinggi, Imam Muda ternyata salah satunya yang menjadi perintis.

Bercerita tentang perancangan kepada para peserta Imam Muda, jelas Zainir, dalam masa terdekat iaitu selama enam bulan, peserta Imam Muda bakal mengikuti pelbagai program dan aktiviti yang disediakan oleh Astro.

"Bagaimanapun, untuk tempoh seminggu kita akan beri peluang kepada mereka untuk pulang ke kampung masing-masing selama seminggu untuk bertemu keluarga.

"Tentunya bulan Ramadan nanti pelbagai aktiviti menanti mereka terutamanya untuk mengimamkan solat-solat terawih selama sebulan.

"Bukan itu sahaja, malah ada diantara peserta Imam Muda mendapat tawaran untuk mengimamkan solat terawih di salah sebuah masjid di Amerika Syarikat," katanya.

Khabarnya, Adib, 22, yang merupakan graduan Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Muta'ah, Jordan merupakan peserta yang mendapat tawaran untuk mengimamkan solat terawih selama sebulan di Amerika Syarikat.

Peserta yang berasal daripada Kota Baharu, Kelantan itu merupakan peserta ketujuh yang tersingkir daripada rancangan itu.

Bersama anak-anak

Bersama anak-anak
Powered By Blogger

Archive