Tubuh tabung DNA

10:39 PM Edit This 0 Comments »
Tubuh tabung DNA

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

PUCHONG 21 Ogos - Bimbang dengan gejala pembuangan bayi yang berterusan, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mencadangkan kerajaan agar mewujudkan tabung sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap kelahiran baru.

Beliau berkata, penggunaan tabung sampel DNA telah terbukti menyelesaikan kes pembuangan bayi, malah menangani pelbagai kes jenayah lain seperti dilaksanakan di negara-negara maju.

Difahamkan antara negara yang mewujudkan tabung sampel DNA untuk semua rakyatnya adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand dan Denmark.

Menurut Khalid, meskipun pelaksanaan tabung itu mengambil masa yang lama dan melibatkan kos tinggi, namun hanya itu sahaja langkah terbaik mencegah dan menyelesaikan kes pembuangan bayi.

Beliau pada masa sama turut kesal dengan sikap masyarakat yang enggan menyalurkan maklumat sehingga menyukarkan polis mengesan ibu bapa bayi dibuang.

"Sampai bila kita mahu biarkan kejadian yang menyayat hati ini berterusan. Orang ramai pula tidak tampil beri maklumat menyebabkan kes-kes pembuangan bayi berlarutan.

"Sesuatu perlu dilakukan, malah saya yakin jika tabung sampel DNA diwujudkan, si pelaku dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan 'Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat' di Pasar Raya IOI di sini hari ini.

Khalid berkata, menerusi kaedah penggunaan tabung sampel DNA selain mampu mengesan ibu bapa biologi bayi, tabung sampel DNA dijangka dapat mencegah semua kategori perbuatan jenayah.

"Ini termasuk boleh memberi rasa takut atau fear factor kepada golongan remaja untuk melakukan jenayah kerana menyedari sampel DNA mereka telah diambil.

"Walaupun kita belum lagi mengamalkan tabung sampel DNA ini seperti di negara-negara lain, namun belum terlambat untuk melaksanakannya," katanya lagi.

Kes buang bayi di negara ini semakin serius apabila ia meningkat mendadak lebih 54 peratus sejak Januari sehingga hari ini berbanding lapan bulan pertama tahun lalu.

Statistik terbaru dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, terdapat 65 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini berbanding hanya 42 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dua tahun lalu, Parlimen bersetuju meluluskan Akta Identifikasi DNA 2008 yang mengklasifikasi profil DNA dan maklumat sedia ada yang berkaitan dengannya disimpan serta disenggarakan oleh Jabatan Kimia Malaysia atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Undang-undang tersebut diwujudkan bertujuan memperoleh sampel DNA daripada orang yang disyaki bersalah, tahanan atau seorang penagih dadah untuk siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu pada majlis tersebut, seramai 124 orang awam diberi sijil komuniti kepolisan selain penyerahan borang balik kampung kepada setiap Ketua Polis Balai di Selangor.

Khalid berkata, pihaknya menyasarkan sifar jenayah pecah rumah sepanjang Ops Sikap Ke-22 yang bakal bermula pada 3 September hingga 17 September.

"Seramai 800 anggota trafik serta 400 kakitangan awam juga akan ditugaskan untuk mengawal trafik dan 52 jalan maut di seluruh Selangor sempena Ops Sikap ke-22 sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.

"Hanya 10 peratus anggota polis Selangor sahaja yang dibenarkan mengambil cuti," katanya lagi.

Bertadarus di bulan Ramadan

9:19 PM Edit This 0 Comments »
Bertadarus di bulan Ramadan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

Pelbagai kelebihan yang Allah SWT janjikan kepada individu yang cintakan al-Quran. - Gambar hiasan

BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-'Alaq: 1-5) yang bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat." (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu'ah Qadaya Islamiah Mu'asirah 1/328 berkata: "Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi."

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas'ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf."

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama'ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa'id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya."

Secalit Bingkisan

6:36 PM Edit This 0 Comments »
Di antara kita pernah berbuat kesalahan terhadap diri sendiri sebagaimana terhadap keluarga dan kerabat bahkan terhadap Allah. Dengan segala rahmatnya, Allah memberikan jalan kembali kepada ketaatan, ampunan dan rahmat-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat. Seperti diterangkan dalam surat Al Baqarah: 160 "Dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

Taubat dari segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. Hal itu justru akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya karena sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Sebagaimana firmanya dalam surat Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.


SELAMAT BERPUASA.......

9:21 PM Edit This 0 Comments »
SELAMAT BERPUASA...

Sorok nasi dalam lif

11:12 PM Edit This 0 Comments »
Sorok nasi dalam lif
Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/08/14
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: Taktik licik sebuah restoran nasi kandar yang menggunakan lif barang untuk menyimpan makanan siap dibungkus bagi dijual kepada individu tidak berpuasa terbongkar selepas diserbu penguat kuasa agama, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi, restoran berkenaan yang pernah mempunyai rekod menjual makanan kepada umat Islam tidak berpuasa tahun lalu didapati menyimpan ratusan bungkus nasi berlauk ayam goreng, daging masak kicap, sayur kubis dan kari yang dijual RM5 sebungkus.


Jurucakap Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) berkata, walaupun baru beberapa hari umat Islam berpuasa, premis itu sudah mengulangi amalan lama tidak menghormati Ramadan untuk mengaut keuntungan dengan mudah.


“PADK bersama Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) menjalankan pemantauan bagi memastikan semua premis makanan hanya beroperasi pada jam 3.30 petang.


“Ketika tiba di premis nasi kandar itu, beberapa tonto atau pengintip berada di luar kedai dan sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, mereka memaklumkan kepada penyelia atau pemilik premis terbabit,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan sekitar premis mendapati makanan siap dibungkus disorok di beberapa tempat terlindung seperti bilik stor, ruang menyimpan barang dan sebuah lif barang.


“Antara makanan dirampas ialah ayam goreng, daging masak kicap, sayur kubis dan kari dengan setiap bungkusan makanan dijual pada harga RM5,” katanya.


Berikutan itu, restoran nasi kandar berkenaan diberi notis saman dari MPKK berjumlah RM500 dan jika masih tidak mematuhi arahan, denda dinaikkan kepada RM1,000 untuk kesalahan kali kedua.


Menurutnya, PADK dan MPKK membuat rondaan setiap hari bagi memastikan semua peniaga di kawasan itu mematuhi arahan dikeluarkan iaitu hanya boleh beroperasi mulai jam 3.30 petang.


Jurucakap PADK berkata, lebih penting bukan tindakan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memohon peniaga dan orang ramai menghormati kesucian Ramadan.


“PADK tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu tidak berpuasa dan premis yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Fadhilat Bulan Ramadhan

10:15 PM Edit This 0 Comments »
Fadhilat Bulan Ramadhan

DakwahPublished July 26, 2010 at 3:28 pm 1 Comment

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:

* Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
* Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria’.
* Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”
(Surah Al-Maidah:42)
* Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
* Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Adab berpuasa dan solat terawih

10:05 PM Edit This 0 Comments »
Adab berpuasa dan solat terawih

Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Bersama anak-anak

Bersama anak-anak
Powered By Blogger

Archive