'Hidup kami tertekan'

7:13 PM Edit This 0 Comments »
'Hidup kami tertekan'
Oleh Rashidi Karim

2010/08/26
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Keluarga Hatib Leman yang mati dibelasah penduduk kampung akibat disalah sangka konon mengintai anak gadis orang di Kuala Perlis, dua tahun lalu, kini tertekan selepas mendakwa dipulau penduduk kampung berikutan perbicaraan kes itu yang berakhir dengan pembebasan semua suspek pembunuh.
Lebih malang, perniagaan kecil diusahakan isteri arwah, Fazilah Mohamad, 37, untuk membesarkan empat anak termasuk seorang anak lelaki hasil perkahwinan dengan Hatib sudah berakhir beberapa bulan lalu apabila pemilik enggan membenarkannya berniaga di tanah itu.


Fazilah berkata, dia kini bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sebanyak RM400 sebulan untuk membesarkan empat anak berusia dua setengah tahun hingga 20 tahun. Bagaimanapun, katanya, wang terbabit sentiasa tidak mencukupi.


“Seorang anak perempuan saya dengan suami terdahulu, Aliza Ali, berusia 14 tahun sudah berhenti sekolah sejak awal tahun ini kerana masalah kewangan dan saya tidak mampu menyara persekolahannya. “Anak kedua, Ismail Ali masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis.


“Tahun lalu, kami lima beranak mampu menjalani kehidupan lebih sempurna apabila seorang tauke Cina menghulurkan modal untuk saya menjual ikan dan sayuran di depan rumah. Dengan perniagaan itu, saya mampu menyekolahkan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumah baru yang disewa di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, semalam.


Dalam kejadian 3 Mei 2008 lalu, arwah Hatib mati dibelasah sekumpulan 20 lelaki di sebuah rumah di Kampung Belakang Kilang selepas disalah sangka konon mangsa mengintai anak gadis jirannya yang baru berusia 12 tahun.


Arwah yang menonton televisyen di rumahnya ditarik keluar sebelum dibelasah sekumpulan penduduk di depan Fazilah dan empat anaknya.


Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia kira-kira empat jam selepas dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Berikutan itu, polis menahan sembilan orang termasuk dua beranak berusia 20 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.


Bagaimanapun, semua suspek lelaki yang mempunyai pertalian keluarga juga jiran Hatib dan Fazilah dibebaskan selepas perbicaraan kes berjalan selama beberapa bulan.


Katanya, keluarganya kini seolah-olah seperti dipulau penduduk sejurus pembebasan suspek dan pemilik tanah pula memintanya mencari tapak perniagaan lain kerana kawasan itu akan dimajukan.


“Selepas tanah dikatakan mahu dibangunkan itu masih terbiar kosong, saya menyedari ada sesuatu berlaku, apatah lagi perniagaan menjual ikan ketika itu semakin maju serta saya mampu menyiapkan pakaian raya untuk semua anak seawal puasa. “Tahun ini, saya kelam-kabut memikirkan keperluan anak-anak menyambut Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, keluarganya sudah berpindah mencari rumah baru lebih murah di kampung itu selepas tidak dibenarkan berniaga dan akan berusaha mengumpul modal untuk menjalankan perniagaan sesuai.


Dia turut meminta polis membuka semula fail siasatan menyiasat kematian suaminya yang terang-terangan dibelasah di depannya dan anak hingga meninggal dunia.

0 comments:

Bersama anak-anak

Bersama anak-anak
Powered By Blogger

Archive