Ibadah Puasa dan Sikap Kita

9:03 PM Edit This 0 Comments »
Ibadah Puasa dan Sikap Kita
Azrina Binti Sobian
Fellow

12/08/2010 | Artikel Bahasa Malaysia

Kita kini berada di bulan Ramadan. Oleh itu, kita semua diwajibkan berpuasa. Bagi kebanyakan orang, kehadiran bulan Ramadan sememangnya amat dinantikan. Ini kerana, peluang melaksanakan ibadah puasa tidak hadir setiap masa. Berbeza dengan solat, tuntutan untuk berpuasa (wajib) hanya dapat dilaksanakan dalam bulan Ramadan. Maka, tidak hairanlah kita mensyukuri kehadiran bulan yang mulia ini.

Pastinya, pengalaman berpuasa berbeza bagi setiap orang. Walau rencamnya perbezaan itu, namun hakikatnya, matlamat ibadah ini sama iaitu mendidik jiwa manusia dengan pelbagai nilai murni misalnya bersabar dengan segala keletihan dan dugaan semasa berpuasa atau belajar mengasihi insan lain dengan merasai kepayahan mereka yang mungkin terpaksa "berpuasa" sepanjang hidup. Selain itu, dalam bulan inilah kita berusaha memerangi hambatan nafsu diri yang pelbagai. Maka, peluang untuk menjalani dan meningkatkan ibadah di bulan Ramadan ini janganlah dipersiakan.

Keberkatan bulan Ramadan sememangya tidak dapat dinafikan. Namun, kadang kala sikap sesetengah kita telah mencacatkan keberkatan tersebut. Sebelum menjelaskan sikap tersebut dengan lebih mendalam, elok juga dinyatakan bahawa sikap ini juga wujud di luar bulan Ramadan. Namun sayangnya, dalam bulan yang penuh kemuliaan ini, sikap tersebut bagai diraikan walaupun sebenarnya tidak perlu.

Antara sikap yang paling jelas kelihatan ialah sikap kita terhadap makanan. Sudah menjadi trend masyarakat kita bermewah-mewah dengan makanan di bulan puasa sama ada di pasar atau bazar Ramadan mahupun di bufet-bufet sediaan hotel-hotel. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan seorang suri rumah tangga tidak perlu memasak dalam bulan ini kerana makanan ada dan boleh dibeli di mana-mana.

Di bazar Ramadan ada yang tidak kisah dengan kepenatan berpuasa, berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk melihat apa yang dijual. Semuanya bagai ingin dibeli dengan alasan teringin. Maka, benarlah kata orang tua-tua, "kita lapar di mata bukan di perut." Kalau ikut "lapar di perut" sebenarnya kita tidak mampu makan semua makanan itu. Ini kerana saiz perut tidaklah sebesar mana. Tetapi, dek kerana "lapar di mata" maka pelbagai jenis makanan dibeli seolah-olah semua makanan itu boleh disumbatkan ke dalam perut.

Tindakan ini sememangnya bertentangan dengan tuntutan sebuah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa, perut manusia sebaiknya diisi dengan kombinasi satu pertiga makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga udara (nafas) (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai). Sebaliknya, tuntutan seperti dalam hadis ini seakan terabai kerana kita sering teringin makan itu dan ini.

Jika di hotel-hotel pula, hidangan sungguh "mewah." Ke"mewah"an itu pula ada harganya. Namun, jika difikir kembali, berbaloikah membayar wang yang banyak untuk makan makanan yang sebenarnya tidak semua mampu dimakan? Kita perlu menerima hakikat bahawa kemampuan perut untuk menerima makanan pada satu-satu masa adalah terhad. Oleh itu, amatlah merugikan jika kita membayar wang yang banyak untuk makanan yang tidak dimakan. Bukankah lebih baik jika wang itu disedekahkan kepada orang yang amat memerlukan?

Bukan itu sahaja. Lihat pula sisa-sisa makanan di atas pinggan-pinggan. Betapa banyaknya kita membazirkan makanan. Sudahlah membayar dengan jumlah yang tinggi, makanan pula banyak yang bersisa. Kalaulah makanan yang banyak itu dapat dikongsi bersama mereka yang miskin atau saudara Muslim lain yang teguh berjuang mempertahankan negara mereka atau rakan-rakan seagama yang hidup sengsara kerana diduga dengan bencana yang amat dahsyat, alangkah baiknya! Sedang orang lain berduka, kita bersuka ria. Maka jadilah kita sang pelupa, entah bila akan sedarnya.

Membeli pelbagai makanan juga boleh menambah jumlah sisa. Sememangnya kita sentiasa bersikap sambil lewa terhadap sisa. Kita memandang rendah sisa. Lebih cepat ia keluar daripada rumah kita, maka lebih baik. Sikap sebegini begitu menyedihkan. Seolah-oleh kita lupa siapa yang menjana sisa tersebut. Sebenarnya, dengan membeli begitu banyak barangan sama ada makanan di bazar Ramadan, pakaian hari raya mahupun barangan yang lainnya akan meningkatkan jumlah sisa. Sisa-sisa ini pula membawa masalahnya yang tersendiri.



Sebenarnya, bukan mudah mengurus serta melupuskan sisa. Masalah pengangkutan sisa yang kurang cekap, kekurangan tapak pelupusan serta kaedah pelupusan yang mungkin tidak sesuai, merupakan sebahagian daripada masalahnya. Bukan itu sahaja, untuk menguruskan sisa banyak tenaga diperlukan. Lebih banyak sisa, lebih banyak tenaga dibazirkan. Oleh itu, jika kita terus leka meningkatkan pembelian di bulan Ramadan, maka penjanaan sisa akan terus meningkat dan lebih banyak tenaga dibazirkan.

Kita tidak memerlukan data khusus bagi menyokong kenyataan ini. Dengan pemerhatian, pelbagai bukti dapat diperoleh. Lihat sahaja pelbagai beg plastik yang bergayut di tangan pembeli di bazar Ramadan. Bukankah plastik-plastik ini amat sukar dilupuskan dan boleh menjejaskan mutu alam sekitar? Bukan itu sahaja, selepas bazar berakhir, banyak pula sisa lain yang ditinggalkan. Dalam keadaan ini, sudahlah kita membeli mengikut nafsu, sisa yang terhasil itu pula merosakkan alam yang kita huni. Pastinya, ini amat bertentangan dengan roh berpuasa itu sendiri yang sepatutnya mendidik kita untuk melawan nafsu serta mengajar kita untuk memikirkan nasib insan lain yang kurang baik. Dalam hal ini, selain insan, kita juga patut memikirkan nasib bumi ciptaan Allah SWT ini.

Selain makanan, sikap kita terhadap masa juga perlu diteliti. Kata orang, "masa itu emas." Oleh itu, masa yang ada seharusnya digunakan sebaik mungkin. Apatah lagi dalam bulan Ramadan ini. Setiap masa yang digunakan dengan cara yang baik akan mendapat ganjaran yang tinggi. Dengan itu, janganlah masa yang ada digunakan untuk tidur sahaja. Kononnya, badan letih berpuasa. Atau, masa itu dihabiskan di pusat membeli belah dengan alasan membuat persiapan hari raya semata-mata. Bukan itu sahaja, masa juga tidak wajar digunakan hanya untuk menonton TV, bersembang kosong, bermain game dan sebagainya dengan alasan menunggu waktu berbuka.

Sempena bulan Ramadan ini, masa perlu dimanipulasi untuk kegiatan-kegiatan yang akan menjana pulangan akhirat yang tinggi. Bukankah kita semua digalakkan bersolat terawih, banyakkan membaca al-Quran serta menghayati kandungannya, meningkatkan sedekah dan pelbagai amalan mulia yang lain? Oleh itu, masa yang dianugerahkan kepada kita seharusnya digunakan sebijak mungkin. Buktikan bahawa kita adalah hamba-Nya yang mensyukuri dan menghargai anugerah masa.

Kita sering menganggap bahawa sikap adalah sesuatu yang sukar diubah. Kita percaya bahawa sikap selalunya sudah sedia berakar umbi dalam diri manusia. Dalam banyak keadaan kita tidak gemar mengubah sikap kerana telah terbiasa dan selesa dengannya, walaupun sikap itu tidak sesuai. Kita lebih rela memaksa orang lain berubah atau berusaha mengubah keadaan demi memastikan sikap kita dapat dikekalkan.

Sikap yang jelek pula sememangnya menjejaskan matlamat yang ingin dicapai di bulan Ramadan iaitu untuk meningkatkan iman dan memperbaiki mutu diri. Oleh itu, apa guna mempertahankan sikap yang menjejaskan timbangan pahala kita di bulan yang mulia ini. Jika selama ini, kita berasa sukar mengubah sikap, maka moleklah jika bulan yang pernuh keberkatan ini digunakan untuk mengubah sikap buruk itu. Walaupun dirasakan sikap sukar diubah namun ini tidak bermakna ia mustahil. Kita yakin "alah bisa tegal biasa." Mula sengsara, akhirnya selesa. Dengan sebab itu, tiada ruginya kita berubah!

0 comments:

Bersama anak-anak

Bersama anak-anak
Powered By Blogger

Archive